Kunjungan

Rabu, 27 Ogos 2008

Satu tandatanya buat keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan

Majlis Fatwa Kebangsaan telah menerbitkan fatwanya. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempengurusikan mesyuarat khas dengan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan meyebutkan;
"Kita (Majlis Fatwa Kebangsaan) merasakan bahawa proses perundangan harus berjalan dan muhabalah boleh mengambil tempat apabila proses perundangan itu sudah diselesaikan".
Apakah wajar keputusan Majlis Fatwa didirikan atas rasa."Kita merasakan...." adalah kenyataan longgar yang tidak bersifat fatwa. Ia lebih kepada pendapat. Pendapat boleh dikeluarkan oleh sesiapa sahaja dan tidak perlu Majlis Fatwa bersidang kalau hanya sekadar untuk mengeluarkan pendapat. Pemimpin sebuah negara atau pengemis jalanan pun berhak mengeluarkan pendapat.
"Apa yang berlaku sekarang harus dijadikan pengajaran agar kedua-dua pihak dapat dibawa ke pengadilan dan apabila satu pihak merasakan bahawa dirinya tidak terbela atau teraniaya, maka muhabalah boleh dilakukan dengan melibatkan kedua-dua pihak berkenaan,"
Apabila proses perundangan telah selesai, masing telah mendatangkan syahadah dan qarinah dan hakim pun menjatuhkan hukuman, apakah perlu lagi bersumpah atau bermubahalah? Apakah mubahalah itu akan membatalkan keputusan yang telah diputuskan hakim berdasarkan syahadah dan qarinah? Kalau membatalkan, sebaiknya dari awal lagi bermubahalah sahaja dan tidak perlu melalui proses pembuktian. Adalah sia-sia sahaja berhempas pulas membuktikan dengan syahadah dan qarinah jika akhirnya diketepikan oleh sumpah dan mubahalah. Kalau sumpah dan mubahalah itu tidak membatalkan keputusan hakim, apa guna lagi bersumpah atau bermubahalah?sia-sia sahaja! Apakah ia satu cubaan menjadikan masyarakat awam sebagai mahkamah terbuka?
Itu tak perlu kerana hukuman hanya boleh dijatuhkan oleh mahkamah yang yang berpijak atas syahadah dan qarinah serta keputusan hakim!
Pertanyaan ini bukan bertujuan mempertikaikan otoriti Majlis Fatwa Kebangsaan. Anggap sahaja pertanyaan ini sebagai pertanyaan terbuka yang menjadi hak setiap orang Islam. Tiada manusia yang maksum dan tidak boleh dipersoalkan. Demikian kenyataan yang keluar dari Majlis Fatwa Kebangsaan.
Mengapa Majlis Fatwa tidak membuat satu keputusan fatwa mengenai keabsahan sumpah atau mubahalah dalam kes-kes yang telah tersenarai dalam kesalahan hudud? Kalau sumpah atau mubahalah dalam kes dan kesalahan hudud dibolehkan, maka Majlis Fatwa perlu mengazetkan fatwa mengenai perlunya memasukkan sumpah dan mubahalah dalam Kanun Acara Jenayah Syariah di Malaysia.
Majlis Fatwa diminta bersidang lagi...keluarkan kenyataan yang bersifat hukum dan tidak berbau politik. Lupakan tentang kes Saiful bersumpah dan orang ramai mempertikaikannya. Itu sebenarnya adalah berpangkal daripada maksud politik biarpun dinafikan oleh empunya diri dan pemimpin negara. Itu tidak memerlukan ulasan Majlis Fatwa.
Majlis Fatwa perlu mengulas mengenai hukum sumpah dan mubahalah dalam kes yang disifatkan kes jenayah syariah! Di sini isunya. Ini lebih baik dan lebih bermakna kepada ummat untuk difatwakan.

Tiada ulasan: