Kunjungan

Rabu, 6 Ogos 2008

Permatang Pauh: Penamaan calon 16 Ogos, undi 26 Ogos

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh, yang dikosongkan minggu lalu, akan diadakan pada 26 Ogos ini.Penamaan calon pula ditetapkan pada 16 Ogos dengan tempoh berkempen selama 10 hari.

Pilihan raya kecil Permatang Pauh diadakan berikutan pengunduran penyandang kerusi itu yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada 31 Julai lepas bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding. Pagi ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian pilihan raya kecil itu.

Seramai 58,459 pemilih layak yang terdiri daripada 57,969 pemilih biasa dan 490 pengundi pos layak mengambil bahagian dalam pilihan raya kecil kali ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuaratnya yang bermula 10 pagi, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, writ pilihan raya akan dikeluarkan esok manakala notis pilihan raya pula hari keesokan.

Kenyataan itu diedarkan kepada media oleh Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said.

"SPR memberi nasihat kepada semua pihak terutamanya parti-parti politik, calon-calon dan petugas-petugas parti dan individu lain yang terlibat perlu sentiasa mematuhi undang-undang pilihan raya serta tatasusila berkempen yang ditetapkan agar dapat menjaga ketenteraman dan keselamatan awam," katanya.

Abdul Rashid berkata Daftar Pemilih Induk 2007 yang diwartakan pada 5 Februari 2008 dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama tahun 2008 yang diwartakan pada 19 Jun 2008 dan dikemas kini sehingga 31 Julai 2008, hendaklah digunakan dalam pilihanraya kecil P.44 Permatang Pauh.

Tambah beliau buat masa ini terdapat beberapa kes petisyen pilihan raya bagi Pilihan Raya Umum 2008 yang masih berada di peringkat perbicaraan.

"Oleh itu calon-calon diingatkan supaya tidak menyentuh isu-isu yang melibatkan kes-kes petisyen dalam kempen-kempen mereka," katanya.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac lepas, Dr. Wan Azizah memperoleh 30,338 undi bagi menewaskan Datuk Pirdaus Ismail dari Barisan Nasional dengan majoriti 13,388. Kerusi itu juga pernah diwakili oleh Anwar semasa beliau masih dalam Umno.SPR telah melantik untuk pilihan raya itu, Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah Roslan Yahaya sebagai Pegawai Pengurus dan tiga penolong Pegawai Pengurus iaitu Setiausaha Majlis Perbandaran Seberang Perai Zainol Abidin Md Noh, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pengurusan) Seberang Perai Tengah Kamarul Haizal Koderat, dan Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Seberang Perai Tengah Azizal Ahmad.
Sumber: Mstar

Tiada ulasan: