Kunjungan

Selasa, 25 Mac 2008

UMNO Muar desak Pak Lah undur

MUAR: Seramai 80 pemimpin Umno Bahagian Muar menggesa para pemimpin mereka supaya mengadakan mesyuarat agung tergempar untuk menggesa presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, meletak jawatan.

Kumpulan itu, yang termasuk jawatankuasa Bahagian, sayap Wanita dan Pemuda, telah berkumpul di rumah Datuk Kadar Shah Tun Sulaiman untuk meminta pandangan beliau mengenai keputusan mereka.

Para pemimpin Umno Muar yang kecewa apabila pengerusi bahagian, Datuk Mohd Ismail Mohd Shah, kehilangan kerusi dewan undangan negeri (DUN) Maharani dalam pilihan raya 8 Mac lalu, berasa sudah tiba masanya Umno diberi nafas baru.

Jurucakap kumpulan itu, Zakariah Mahadi, berkata pucuk pimpinan Umno harus bertanggungjawab di atas keputusan pilihan raya baru-baru ini dan meletak jawatan.

Encik Zakariah, mantan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Balang, berkata anggota Umno bahagian Muar juga sedih dengan kehilangan Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor kepada parti pembangkang.

'Kami juga memutuskan untuk memberi sokongan kepada Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, dalam usaha beliau hendak memulihkan maruah Umno,' kata beliau selepas perhimpunan kelmarin.

Sementara itu, Datuk Kadar yang rapat dengan Tengku Razaleigh berkata, Datuk Seri Abdullah harus mendengar kehendak pemimpin akar umbi kerana ramai kini mahu beliau meletak jawatan.

Menurutnya, punca ramai pengundi Melayu menolak Barisan Nasional ialah kerana kurangnya pekerjaan bagi anak mereka meskipun sudah mempunyai ijazah dan diploma.
sumber: klpos.com

Tiada ulasan: