Kunjungan

Sabtu, 15 Mac 2008

Tindakan Terhadap Mukhriz Selepas Mesyuarat Exco, Kata Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Sebarang tindakan yang akan dikenakan terhadap Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir, akan dibuat selepas mesyuarat Exco Pemuda Umno tidak lama lagi, kata Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata tindakan terhadap Mukhriz yang juga Exco Pemuda dan merupakan Pengerusi Biro Antarabangsa dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu akan dibuat berdasarkan saluran yang sedia ada.
"Saya tidak akan lari daripada tanggungjawab selagi saya menjadi Ketua Pemuda dan amanah yang diletakkan di atas bahu saya akan dipikul dengan penuh azam.
"Tindakan (Mukhriz) itu saya anggap tidak bertanggungjawab dan Pemuda akan mengambil tindakan mengikut saluran sedia ada. Kita tunggu mesyuarat Exco yang akan diadakan selepas Kabinet diumumkan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Hishammuddin berkata demikian ketika diminta mengulas komen Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam yang menyerahkan kepada beliau selaku Ketua Pemuda Umno untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap Mukhriz.
Ini ekoran tindakan Mukhriz yang telah mengutus surat kepada Abdullah meminta beliau meletakkan jawatan serta bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan pilihan raya umum 8 Mac lepas.
Salinan surat itu yang disifatkan Mukhriz sebagai surat peribadi turut dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Intipati surat berkenaan bagaimanapun telah disiarkan di beberapa laman web.
Tindakan itu dibuat sehari selepas Mukhriz mengeluarkan kenyataan positif dengan menyatakan sokongannya kepada pucuk pimpinan parti itu.
Hishammuddin berkata tindakan Mukhriz itu jelas bertentangan dengan apa yang telahpun dinyatakan beliau mengenai kepimpinan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Pemuda Umno sebelum ini telah menyatakan pendirian sayap pergerakan itu yang tetap menyokong penuh kepimpinan Abdullah dan Najib.
-- BERNAMA

Tiada ulasan: