Kunjungan

Ahad, 16 Mac 2008

Pemuda Umno Johor Cadang Perhimpunan Khas Umno

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Pemuda Umno Johor hari ini mencadangkan supaya perhimpunan khas Umno diadakan segera bagi membincangkan masalah dan pertikaian pendapat yang timbul dalam parti ekoran tsunami politik dalam pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Pengerusi Tugas-Tugas Khas Pemuda Umno Johor Suhaimi Khalid berkata perhimpunan khas itu hendaklah diadakan sebelum Perhimpunan Agung Umno yang dijangkakan pada Ogos depan, memandangkan keadaan akar umbi yang kini bergolak.

"Perhimpunan khas ini akan membolehkan anggota parti bermuzakarah antara satu sama lain untuk selesai masalah. Kita tak boleh tuduh sesama sendiri sebaliknya bermuhasabah.

"Presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan pemimpin-pemimpin lain juga boleh mengambil peluang untuk memberi amanat dan menerangkan kepada akar umbi bagi merapatkan barisan. Yang penting kita kena kembalikan keyakinan rakyat kepada Umno," katanya ketika menghubungi Bernama dari Kota Tinggi, Johor hari ini.

Beliau berkata pertikaian pendapat yang timbul melibatkan pemimpin dan anggota Umno sejak akhir-akhir ini tidak menguntungkan parti, sebaliknya melemahkan orang Melayu.

Sebelum ini, Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ditemubual Bernama di Putrajaya berkata tsunami politik yang melanda negara pada pilihan raya umum ke-12 merupakan pengajaran yang menuntut semua pihak termasuk kepimpinan negara bermuhasabah dan mencari pendekatan sesuai untuk mengembalikan keyakinan rakyat.

Beliau juga meminta pemimpin akar umbi agar turun ke bawah menerangkan kepada akar umbi mengenai situasi politik semasa agar mereka tidak menjadi seperti "anak ayam kehilangan ibu".

Muhyiddin menyifatkan kegagalan Barisan Nasional (BN), ditunjangi Umno, MCA, MIC dan Gerakan, mengekalkan majoriti dua per tiga dalam pilihan raya sebagai genting dan perlu diterima dengan (fikiran) terbuka oleh semua pihak.

Episod politik tentang siapa yang bakal menjadi Menteri Besar Perlis; kedudukan Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu; dan tindakan Ahli Parlimen Jerlun yang juga anggota Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir meminta Abdullah meletak jawatan, kini menjadi bualan hangat akar umbi.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: