Kuala Lumpur, 11 Mac - Agenda ekonomi KeADILan telah jelas terbukti menerima mandat rakyat, dan dengan kuasa yang telah diberi di negeri Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, pakatan parti pembangkang akan melaksanakan dasar-dasar pasaran bebas yang mesra-perniagaan, demi menggalakkan pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan asing dan melahirkan ketelusan dan kepertanggungjawaban yang lebih tinggi dalam urusan perniagaan.
Inilah yang disampaikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum KeADILan, dalam kenyataan medianya yang diperoleh SuaraKeadilan.com hari ini.
Jelas beliau, pada 8 Mac yang lalu, rakyat Malaysia telah mengundi dan menambah empat kali ganda bilangan kerusi Parlimen yang dipegang parti pembangkang, justeru memberikan mereka 50% kerusi Parlimen di Malaysia Barat.
“Selepas sedekad tadbirurus ekonomi yang lemah, inflasi yang tidak terkawal dalam beberapa tahun yang lepas, dan daya saing yang semakin merosot berbanding negara-negara jiran kita, kami yakin bahawa di bawah kepimpinan kami, bersama-sama berganding bahu dengan pasangan-pasangan kami, kami akan dapat melaksanakan dasar-dasar baru untuk menjamin ekonomi Malaysia yang jauh lebih kuat dan bertenaga tinggi,” tegas beliau.
Beliau menerangkan bahawa salah satu prioriti mereka dalam minggu-minggu yang akan datang ini adalah untuk mula berdialog dengan para pelabur asing yang sudah bertempat di Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.
Jelas beliau lagi, ini akan memastikan bahawa keyakinan para pelabur kekal kukuh dalam tempoh peralihan ini, di samping mengenalpasti masalah-masalah yang perlu ditangani kerajaan-kerajaan baru dalam meningkatkan lagi prestasi operasi pelabur asing di negeri-negeri mereka.
Menurut Dato’ Seri Anwar, dasar toleransi sifar kami terhadap rasuah akan dapat memberi kesan yang besar dari segi mengurangkan kos urus niaga dan membina keyakinan dalam perusahaan kecil dan sederhana.
Beliau turut menerangkan bahawa mereka juga merancang untuk menyekat kakitangan kerajaan daripada berurusniaga dengan kerajaan, seterusnya mengurangkan insentif untuk kronisme dan perjanjian dalaman yang begitu membelenggu kerajaan sekarang.
Kata beliau lagi, Agenda Ekonomi Malaysia, yang merupakan salah-satu titik-tolak janji pilihanraya KeADILan, akan dapat dilaksanakan di peringkat negeri demi mengurangkan impak dasar bertunjangkan kaum, seterusnya memperkenalkan sistem berdasarkan merit yang akan lebih berdaya-saing.
Menurut beliau, ini akan serta-merta meningkatkan pelaburan asing, menambahkan hasil percukaian negeri, seterusnya mengurangkan jurang pendapatan dan sosio-ekonomi.“Kami juga akan menunaikan janji kami untuk melindungi mereka yang tersisih dari semua komuniti etnik di Malaysia,” kata Dato’ Seri Anwar.
Beliau juga menjelaskan bahawa tahap kemenangan pakatan pembangkang yang tidak terjangka sememangnya agak mengejutkan negara dan rantau ini. Justeru itu, penyesuaian jangka pendek di BSKL dan ringgit yang lebih lemah memang telah dijangka.
Namun begitu, pada hemat beliau, situasi tersebut tidak akan melarat kecuali jika Barisan Nasional memilih untuk cuba menghukum rakyat dengan menyekat dana pembangunan yang sepatutnya pergi ke negeri-negeri yang kini telah tumbang kepada pembangkang.
“Akan tetapi, kami memberi amaran kepada Barisan Nasional: tindakan sebegitu akan hanya memburukkan lagi kedudukan mereka dalam pandangan rakyat Malaysia.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan