KANGAR, 17 Mac (Bernama) -- Datuk Dr Md Isa Sabu yang akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis petang ini, diberi sambutan meriah pada majlis perhimpunan yang dihadiri lebih 5,000 penduduk negeri ini dan penyokong beliau di perkarangan Stadium Utama di sini hari ini. Sebelum itu, ketibaan beliau di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Star, Kedah juga disambut dengan ribuan penduduk Perlis dan penyokong beliau yang kemudiannya mengiringinya dengan bas dan kereta sejauh lebih 50 kilometer ke Kangar untuk menghadiri perhimpunan itu. Md Isa, 61, ketika memberikan ucapan sulungnya selama 15 minit berkata, kerajaan Perlis yang diterajuinya akan bersikap lebih telus kepada rakyat selain memastikan perpaduan menjadi agenda penting. Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu berharap ikatan perpaduan rakyat terus kukuh dan hasrat itu akan mudah dicapai melalui sokongan seluruh penduduk. Katanya, kehadiran ADUN Simpang Empat yang mewakili parti PAS, Rus'seli Eizan meyakinkannya betapa perpaduan masyarakat yang berbilang kaum dan aliran politik mula menyerlah di Perlis. Rus'seli yang tiba agak lewat kemudiannya diberi tempat duduk di sebelah Md Isa dan diberikan tepukan gemuruh. Selepas menghadiri perhimpunan itu, Md Isa yang ditemani isterinya, Datin Asiah Asmuni melawat ibunya, Mahasa Jusoh, 89, di Kampung Kechor selama kira-kira 45 minit. Md Isa kemudiannya berlepas semula ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Star bagi menyambut keberangkatan balik Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dari Kuala Lumpur.Di Istana Arau petang ini, Md Isa dijadual mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis. -- BERNAMA
Isnin, 17 Mac 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan