Kunjungan

Jumaat, 3 April 2009

Begitulah susunan Allah, tentu ada Rahsia...



Pada hari ini, resmilah DS Najib Tun razak sebagai perdana menteri Malaysia. Ramai mengatakan terbukti benarlah teori Rahman. Dalam tentangan keras sebahagian rakyat Malaysia agar DS Najib tidak dilantik, Allah mentakdirkan beliau dilantik juga. Tiada kata yang lebih indah aku ucapkan kecuali:




"Allah maha mengetahui....tentu ada rahsia di sebaliknya..."



Sedutan Berita: Mstar


Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berundur selepas menerajui negara lebih lima tahun.



Najib,55, mengangkat sumpah jawatan dan sumpah menyimpan rahsia sebagai Perdana Menteri Malaysia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada pukul 10:12 pagi tadi.



Upacara yang penuh adat istiadat itu berlangsung di Balai Rong Seri Istana Negara di sini, menyaksikan Najib melafazkan ikrar berbunyi berikut:



"Bismillahirahmanirrahim. Wallahi, Wabillahi, Watallahi."



"Saya Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah dilantik memegang jawatan Perdana Menteri dengan sesungguhnya bersumpah bahawa saya akan menunaikan kewajipan-kewajipan jawatan itu dengan jujur, dengan segala dayaupaya saya, bahawa saya akan menumpahkan kepercayaan dan taat setia yang sebenar kepada Malaysia dan juga memelihara, melindungi serta mempertahankan perlembagaannya."



"Bismillahirahmanirrahim. Wallahi, Wabillahi, Watallahi.



"Saya Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dengan sesungguhnya bersumpah bahawa saya tidak akan memberitahu atau menzahirkan kepada sesiapa sama ada secara langsung atau secara tidak langsung apa-apa perkara yang dibawa untuk pertimbangan saya atau yang akan diketahui oleh saya sebagai seorang Perdana Menteri kecuali sebagai mana yang mungkin dikehendaki untuk menunaikan dengan sempurna kewajipan-kewajipan saya sebagai yang demikian atau sebagai mana yang mungkin dibenarkan dengan khas oleh Yang di-Pertuan Agong."

Tiada ulasan: