Kunjungan

Jumaat, 30 Januari 2009

Nik Aziz ibaratkan Umno pokok hampir mati


KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan perkembangan dalam Umno sekarang menunjukkan parti itu hilang daya tarikan sehingga ada pemimpinnya yang berpaling tadah.





Kata beliau, kalau diibaratkan sebatang pokok, Umno kini sebuah parti yang hampir mati dan akan gugur sendiri dahannya satu persatu sebelum menjadi pokok mati.





"Umno kini tiada daya tarikan atau 'graviti' untuk menarik rakyat menyokong perjuangannya dan ini menyebabkan ramai ahli dan pemimpinnya mula berpaling tadah menyertai parti pembangkang, terutama PAS," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Exco Kerajaan Negeri Datuk Anuar Tan di sini hari ini.





Menteri Besar Kelantan itu berkata apa yang sedang berlaku dalam Umno merupakan perkembangan yang baik bagi Pakatan Rakyat, khasnya PAS, yang sedang berusaha menarik sokongan rakyat terhadap perjuangan yang akan membawa perubahan kepada mereka.





Ditanya mengenai cadangan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail supaya sayap Umno dibubarkan bagi mengelak politik wang dalam parti itu, Nik Aziz berkata, itu adalah masalah dalaman Umno.





"Ia terjadi dengan sendiri apabila pemimpinnya tidak mengamalkan dasar yang betul.





"Inilah juga punca yang menyebabkan Umno diibaratkan parti yang hilang graviti untuk menarik rakyat menyokong perjuangannya," katanya.


Sumber: Mstar

Tiada ulasan: