ALOR STAR, 6 Julai (Bernama) -- Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berpendapat bersumpah dengan menjunjung al-Quran atau 'mubahalah' tidak perlu dilaksanakan kerana ia bukan sahaja akan mendedahkan aib seseorang di khalayak umum malah akan menimbulkan kesan lebih besar terhadap umat Islam. Beliau berkata dakwaan liwat yang melibatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, tidak perlu diperbesarkan kerana lebih banyak cara lain boleh digunakan bagi menentukan kesahihan dan kebenaran terhadap setiap tuduhan yang dibuat. "Jika diperbesarkan, ia bakal membuka ruang kepada pihak lain untuk campur tangan, sekali gus akan menimbulkan kesulitan kepada negara dan masyarakat," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. Wan Mohamad berkata dalam situasi masa kini, lebih baik masyarakat memberi tumpuan terhadap agenda lain yang boleh mendatangkan manfaat kepada agama, bangsa dan negara. Baru-baru ini, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan supaya isu liwat itu diselesaikan secara mubahalah sekiranya ia tidak dapat diselesaikan secara perundangan dunia.
Isnin, 7 Julai 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan